DEFINISI
Wakaf merupakan
salah satu cara ibadah atau cara menghampiri diri kepada Allah menerusi harta
kekayaan. Wakaf juga merupakan salah satu ibadah yang awal di dalam Islam yang
diizinkan oleh syarak. Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat
memberikan faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah
penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut
mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah
jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan
selain ia meringankan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta
kemudahan untuk masyarakat. Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’.
Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu
sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT.
Maksud Wakaf
dari segi bahasa ialah Berhenti (وقف),
Menahan (حبس),
Menghalang (منع).
Dari segi syarak, “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas
harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat
di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk
mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S.W.T.
Terdapat dua
katergori wakaf iaitu wakaf am dan wakaf khas.[1]
Wakaf am merupakan mana-mana bentuk harta
wakaf yang dibuat untuk tujuan-tujuan kebajikan atau khayrat umum tanpa
menentukan mana-mana benefisiari khusus (sama ada terdiri daripada individu
ataupun mana-mana organisasi/institusi) ataupun tujuan tujuan khusus yang
tertentu.
Wakaf khas bersifat khusus apabila pewakaf menentukan wakaf yang
dibuat untuk tujuan tujuan khusus ataupun benefisiari benefisiari tertentu.
Dalam perwakafan khas,seseorang pewakaf akan menetapkan daripada awal lagi
kepada siapakah wakafnya dibuat atau untuk tujuan manakah wakafnya mesti
diaplikasikan. Contohnya pewakaf mewakafkan tanah untuk perkuburan atau
mewakafkan tanah untuk orang miskin.[2]
DALIL PENSYARIATAN WAKAF
Wakaf merupakan satu amalan yang dianjurkan
serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW lagi. Ia
bertitik tolak daripada galakan al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba
dalam melakukan kebaikan. Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi
mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي
سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ
سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ
وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Bandingan (derma)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti
sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala
bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi
Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah al-Baqarah: 261) [3]
Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud ayat
ini berkata: “Ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT
mengenai pelipatgandaan pahala bagi orang yang menafkahkan harta kekayaannya di
jalan-Nya dengan tujuan untuk mencari keredaan-Nya.”
Terdapat satu kisah sahabat mewakafkan harta. Dalam
satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat
Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun
kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah
SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah
SAW:
...وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ وَإِنَّهَا
صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ فَضَعْهَا حَيْثُ
أَرَاكَ اللَّهُ...
Maksudnya: “…Sesungguhnya
antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu
saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan
(pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan
menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…” ( Riwayat al-Bukhari (2769) )[4]
Kisah
ini menunjukkan betapa para sahabat begitu bersungguh-sungguh dalam
berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti bersedekah dan berwakaf bagi merebut
ganjaran pahala yang besar. Perkara seperti ini juga dapat dilihat dalam kisah
Saidina Umar R.A yang mewakafkan tanahnya yang bernilai tinggi di Khaibar
kerana mengikut saranan Rasulullah SAW bagi tujuan mencari keredaan Allah SWT.
Begitu juga dalam kisah yang masyhur, di mana Saidina Uthman bin ‘Affan R.A
membeli sebuah perigi yang amat diperlukan kaum Muslimin pada ketika itu, lalu
disedekahkannya untuk kegunaan orang-orang Islam di Madinah.
Daripada
kisah-kisah yang dirakamkan tersebut, jelaslah menunjukkan betapa para sahabat
sangat menghayati kelebihan dan keutamaan yang diperolehi melalui amalan
bersedeqah dan berwakaf. Hal ini terzahir dalam tindakan mereka dalam menyahut
seruan Rasulullah SAW untuk memberikan manfaat kepada orang ramai bagi meraih
ganjaran besar daripada Allah SWT. Ini kerana mereka menyedari besarnya
kelebihan serta ganjaran pahala lantaran sifatnya yang berkekalan dan
berpanjangan selagi mana perkara yang diwakafkan itu terus dimanfaatkan dan
tidak musnah.[5]
ULASAN
Dengan ini, kita mendapat tahu bahawa wakaf
adalah salah satu cara untuk menghampiri diri dengan Allah menerusi harta yang
diberikan secara ikhlas. Wakaf juga boleh dikatakan sebagai salah satu ibadah
yang awal di dalam Islam yang diizinkan oleh syarak. Kita juga dapat mengetahui
bahawa melalui perbuatan ini, individu tersebut akan mendapat pahala yang besar
daripada Allah SWT. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala,
dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah,
diwarisi dan dipusakai. Wakaf memainkan peranan utama dalam permulaan sejarah
tamadun Islam untuk meningkatkan ekonomi serta memberikan hak kepada golongan
tertentu seperti fakir miskin, anak yatim dan juga pembinaan masjid, surau,
madrasah, tahfiz, asrama anak yatim serta tanah perkuburan. Justeru itu,
semua umat Islam adalah digalakkan untuk berwakaf kerana amalan wakaf akan
memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua masyarakat dalam pelbagai
aspek kehidupan sehingga pada suatu ketika dahulu tiada orang yang tidak
merasakan kebaikan daripada amalan wakaf ini sepertimana yang telah berlaku
pada masa-masa kegemilangan Islam. Wakaf juga telah berperanan dalam
menyediakan pelbagai kemudahan awam. Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan
ekonomi ummah ianya secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan
pengkongsian aset umat islam di negara ini khususnya.
RUJUKAN
1)
Seksyen
2 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
2)
Asmak Ab Rahman, “Peranan Wakaf dalam
Pembangunan Ekonomi Umat Islam dan Aplikasinya di Malaysia”
3)
Surah
Al-Baqarah
4)
Riwayat
Al-Bukhari
5)
Bayan
Linnas Siri ke-191: Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya, Laman Web Rasmi Pejabat
Mufti Wilayah Persekutuan
[1] Seksyen 2 Enakmen Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
[2] Asmak
Ab Rahman, “Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Umat Islam dan Aplikasinya
di Malaysia”, 118 .
[4] Riwayat
Al-Bukhari (2769)
[5]
Bayan Linnas Siri ke-191: Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya, Laman Web Rasmi
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan