Friday, 15 May 2020

Wakaf di Malaysia


DEFINISI

Wakaf merupakan salah satu cara ibadah atau cara menghampiri diri kepada Allah menerusi harta kekayaan. Wakaf juga merupakan salah satu ibadah yang awal di dalam Islam yang diizinkan oleh syarak. Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberikan faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat. Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’. Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT.

Maksud Wakaf dari segi bahasa ialah Berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع). Dari segi syarak, “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S.W.T.

Terdapat dua katergori wakaf iaitu wakaf am dan wakaf khas.[1] Wakaf am merupakan mana-mana bentuk harta wakaf yang dibuat untuk tujuan-tujuan kebajikan atau khayrat umum tanpa menentukan mana-mana benefisiari khusus (sama ada terdiri daripada individu ataupun mana-mana organisasi/institusi) ataupun tujuan tujuan khusus yang tertentu. Wakaf khas bersifat khusus apabila pewakaf menentukan wakaf yang dibuat untuk tujuan tujuan khusus ataupun benefisiari benefisiari tertentu. Dalam perwakafan khas,seseorang pewakaf akan menetapkan daripada awal lagi kepada siapakah wakafnya dibuat atau untuk tujuan manakah wakafnya mesti diaplikasikan. Contohnya pewakaf mewakafkan tanah untuk perkuburan atau mewakafkan tanah untuk orang miskin.[2]

DALIL PENSYARIATAN WAKAF

Wakaf merupakan satu amalan yang dianjurkan serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW lagi. Ia bertitik tolak daripada galakan al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah al-Baqarah: 261) [3]

Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud ayat ini berkata: “Ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT mengenai pelipatgandaan pahala bagi orang yang menafkahkan harta kekayaannya di jalan-Nya dengan tujuan untuk mencari keredaan-Nya.”

Terdapat satu kisah sahabat mewakafkan harta. Dalam satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW:
...وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ فَضَعْهَا حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ...
Maksudnya“…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…” ( Riwayat al-Bukhari (2769) )[4]

     Kisah ini menunjukkan betapa para sahabat begitu bersungguh-sungguh dalam berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti bersedekah dan berwakaf bagi merebut ganjaran pahala yang besar. Perkara seperti ini juga dapat dilihat dalam kisah Saidina Umar R.A yang mewakafkan tanahnya yang bernilai tinggi di Khaibar kerana mengikut saranan Rasulullah SAW bagi tujuan mencari keredaan Allah SWT. Begitu juga dalam kisah yang masyhur, di mana Saidina Uthman bin ‘Affan R.A membeli sebuah perigi yang amat diperlukan kaum Muslimin pada ketika itu, lalu disedekahkannya untuk kegunaan orang-orang Islam di Madinah.

     Daripada kisah-kisah yang dirakamkan tersebut, jelaslah menunjukkan betapa para sahabat sangat menghayati kelebihan dan keutamaan yang diperolehi melalui amalan bersedeqah dan berwakaf. Hal ini terzahir dalam tindakan mereka dalam menyahut seruan Rasulullah SAW untuk memberikan manfaat kepada orang ramai bagi meraih ganjaran besar daripada Allah SWT. Ini kerana mereka menyedari besarnya kelebihan serta ganjaran pahala lantaran sifatnya yang berkekalan dan berpanjangan selagi mana perkara yang diwakafkan itu terus dimanfaatkan dan tidak musnah.[5]

ULASAN

Dengan ini, kita mendapat tahu bahawa wakaf adalah salah satu cara untuk menghampiri diri dengan Allah menerusi harta yang diberikan secara ikhlas. Wakaf juga boleh dikatakan sebagai salah satu ibadah yang awal di dalam Islam yang diizinkan oleh syarak. Kita juga dapat mengetahui bahawa melalui perbuatan ini, individu tersebut akan mendapat pahala yang besar daripada Allah SWT. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah, diwarisi dan dipusakai. Wakaf memainkan peranan utama dalam permulaan sejarah tamadun Islam untuk meningkatkan ekonomi serta memberikan hak kepada golongan tertentu seperti fakir miskin, anak yatim dan juga pembinaan masjid, surau, madrasah, tahfiz, asrama anak yatim serta tanah perkuburan. Justeru itu, semua umat Islam adalah digalakkan untuk berwakaf kerana amalan wakaf akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan sehingga pada suatu ketika dahulu tiada orang yang tidak merasakan kebaikan daripada amalan wakaf ini sepertimana yang telah berlaku pada masa-masa kegemilangan Islam. Wakaf juga telah berperanan dalam menyediakan pelbagai kemudahan awam. Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah ianya secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat islam di negara ini khususnya.






RUJUKAN

1)    Seksyen 2 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
2)     Asmak Ab Rahman, “Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Umat Islam dan Aplikasinya di Malaysia”
3)    Surah Al-Baqarah
4)    Riwayat Al-Bukhari
5)    Bayan Linnas Siri ke-191: Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan




[1] Seksyen 2 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
[2] Asmak Ab Rahman, “Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Umat Islam dan Aplikasinya di Malaysia”, 118 .
[4] Riwayat Al-Bukhari (2769)
[5] Bayan Linnas Siri ke-191: Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

1 comment:

  1. PLS CHECK OUT MY BLOG
    mysfantasy.blogspot.com
    THXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
    BYEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEE

    ReplyDelete